Pemilihan Mentor Bisnes

Dalam usaha untuk meningkatkan bisnes, pendekatan mengambil mentor untuk memberi tunjuk ajar adalah digalakkan terutamanya bagi mereka yang baru sahaja memulakan bisnes. Tetapi usahawan perlu pandai memilih mentor yang betul dengan mengambil kira pelbagai faktor penting. Berikut merupakan ciri-ciri yang perlu dipertimbangkan sebelum usahawan membuat keputusan untuk menjadikan seseorang itu mentor kepada bisnesnya.

1. Kenalpasti Keperluan Bisnes

Dua perkara yang usahawan perlu kenalpasti adalah kemahiran yang ingin dipelajari pada masa sekarang dan pada tahun akan datang. Mentor yang bijak akan membantu usahawan mengecapi kejayaan pada masa sekarang sebelum mendidik usahawan ke peringkat seterusnya. Usahawan perlu bijak membuat analisis tentang keperluan bisnesnya kerana tidak kesemua mentor boleh membantu usahawan berjaya sehingga lima tahun akan datang. Usahawan perlu tahu jenis bimbingan yang diperlukan dari mentornya. Sebagai contoh dari segi pemasaran, penjenamaan, pengurusan kewangan dan sebagainya. Kebiasaannya program mentor sebegini akan memberi kesan yang baik jika ia dijalankan selama setahun sehingga setahun setengah.

2. Kekuatan Dan Kelemahan Mentor

Usahawan tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan seseorang itu sebagai mentor. Kenal pasti kualiti yang ada pada calon mentor tersebut. Buat kajian tentang mentor dan ambil kira faktor seperti sikap timbang rasa, kejujuran, kemahiran berkomunikasi, serta kemahiran berfikir. Setelah mempertimbangkan faktor tersebut, apa yang perlu usahawan tahu adalah, mentor tidak berhak untuk mengubah cara usahawan bekerja atau cara pelaksanaan bisnes yang dijalankan. Pastikan calon mentor usahawan boleh mengikut cara usahawan dan bukan sebaliknya.

3. Pendengar Yang Baik

Mentor tidak mempunyai pengalaman yang sama dengan apa yang usahawan lalui. Mentor akan berusaha mendengar setiap masalah yang dihadapi oleh usahawan dan membantu dengan memberi pandangan. Mentor tidak seharusnya menolak setiap cadangan mahupun keputusan dari usahawan. Lebih baik jika mentor mendengar dengan teliti setiap isu yang dibangkitkan dengan membantu usahawan menyelesaikan masalah, bukan memberi arahan semata-mata.

4. Cabaran

Selain seorang pendengar yang baik, mentor perlu sentiasa membuka ruang dan peluang kepada usahawan untuk mencuba sesuatu yang baru bagi mencapai kecemerlangan syarikat. Apabila ada peluang kepada usahawan untuk mempelajari sesuatu yang baru, ini sekaligus menjadikan satu cabaran untuk usahawan tempuhi.

Tips memilih mentor yang baik dapat membantu usahawan memacu perkembangan bisnes dengan cepat. Jika tersilap pilih, kemungkinan misi syarikat tidak akan tercapai melalui bimbingan dari mentor. Usahawan perlu ada strategi bijak dengan mengenal pasti apa yang ingin dipelajari dan saling melengkapi dengan belajar melalui kegagalan. Pastikan dan pertimbangkan empat faktor di atas ketika ingin memilih mentor bisnes anda.

Facebook
Twitter