Seni Membuat Jualan

Seni Membuat Jualan ialah teknik membuat jualan yang perlu diketahui oleh para usahawan dalam membuat jualan. Usahawan perlu menguasai teknik dan seni membuat jualan bagi memastikan perubahan dalam bisnes menjadi lebih bagus. Ia juga membantu membina strategi baru bagi mempertingkatkan dan memperkukuhkan bisnes mereka. Menjual secara langsung adalah sesuatu yang seni. Ia mungkin sukar bagi yang baru belajar menjual.

Oleh itu amat penting mempelajari teknik bagaimana membuat jualan yang berkesan. Teknik menjual tanpa menjual atau “selling without selling” sesuai digunakan bagi mempengaruhi minda pelanggan untuk membeli, sekaligus meningkatkan jualan. Mengetahui bagaimana cara menyantuni pelanggan dapat membantu jurujual membuat jualan dengan mudah. Ada beberapa teknik yang berkesan bagi membuat jualan. Antaranya adalah:

1. Tingkatkan Daya Pengaruh
Seni menjual amat berkait rapat dengan daya pengaruh pada orang sekeliling, ini termasuk pelanggan anda. Imej diri amat penting bagi membuatkan orang sekeliling kagum terhadap anda. Cara meningkatkan daya pengaruh yang berkesan merangkumi cara berpakaian, bahasa pertuturan dan intonasi yang menyakinkan. Memakai pakaian yang kemas dan sopan serta pemilihan jenis pakaian yang tepat, akan menggambarkan imej yang betul. Ini termasuk memilih warna, corak dan reka bentuk yang betul serta kelihatan kemas dan menyenangkan.

2. Seni bercakap
Ia ialah teknik komunikasi berkesan bagi menyampaikan sesuatu idea/perkara yang perlu dipelajari oleh jurujual. Berkomunikasi secara efektif dan meyakinkan akan menarik pelanggan membeli tanpa dipaksa. Jurujual perlu bercakap dengan ringkas dan mencapai maksud. Pastikan idea yang jelas tentang apa yang harus diperkatakan dan mengetahui cara terbaik untuk mengatakannya.

3. Pengetahuan produk/perkhidmatan
Bagi menarik perhatian dan meyakinkannya pelanggan ‘product knowledge’ perlu ada pada jurujual. Ketahui apa yang perlu dikongsikan dengan pelanggan. Berikan fakta atau jawapan yang tepat kepada pelanggan. Elakkan memperkatakan apa yang anda tidak tahu. Jangan sekali membandingkan atau memburukkan produk atau servis orang lain.

4. Berikan Nilai
Produk yang baik dan berkualiti mudah dijual. Jurujual perlu tahu cara terbaik apa yang ingin dipersembahkan kepada pelanggan. Kenal pasti nilai atau keunikan produk yang ditawarkan. Tunjukkan kepada pelanggan bagaimana produk atau perkhidmatan anda boleh memberi nilai dan mampu menyelesaikan masalah mereka.

5. Penggunaan Bahasa Yang Sesuai
Bercakap dalam bahasa yang jelas dan boleh difahami pelanggan. Elakkan menggunakan perkataan bombastik. Jika anda tidak faham atau tidak pasti bagaimana perkataan diucapkan, jangan gunakannya. Gantikannya dengan perkataan yang lebih mudah difahami pelanggan.

6. Membina Skrip Jualan
Apabila membina skrip jualan, pilih perkataan yang tepat dan sesuai serta ringkas. Elakkan mengambil masa yang lama dengan pelanggan. Menghafal skrip jualan sebelum bertemu pelanggan dapat membantu jurujual yang kurang mahir membuat jualan. Kebanyakan jurujual akan mula bercakap dengan lebih cepat bila gugup. Berlatih dan rekod suara anda sendiri dan dengarkannya jika perlu penambahbaikan.

7. Pastikan Imej dan Postur tubuh
Apabila bercakap dengan pelanggan pastikan anda berada pada postur yang selesa. Mulakan dengan senyuman, jangan terlalu hampir dengan pelanggan atau menyentuh pelanggan anda. Elakkan bercakap gaya senada kerana ia boleh menyebabkan pelanggan bosan untuk mendengar.

Kesimpulannya, membuat jualan menjadi lebih mudah apabila ia berulangkali dilakukan. Ada pepatah Inggeris mengatakan ‘practice makes perfect’. Pengalaman akan membantu jurujual tampil lebih menyakinkan di depan pelanggan sekaligus membantu melariskan jualan.

Facebook
Twitter