Program Keusahawanan Siswa (PKS) telah dilaksanakan sejak tahun 1989 yang bertujuan untuk membudayakan semangat keusahawanan di kalangan siswa di Institusi Pengajian Tinggi. Sehingga kini sebanyak 19 buah IPTA dan 1 IPTS telah terlibat di dalam program ini. PKS adalah terdiri daripada:
Program Pembangunan Usaha Siswa (PPUS);
Kursus Asas Keusahawanan Siswa (KAKS) ;
Student Mall;
Konvensyen dan Karnival Keusahawanan Siswa (KARNIAWAN); dan
Student In Free Enterprise (SIFE).
i. Program Pembangunan Usaha Siswa (PPUS)
Program ini dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti melalui aktiviti-aktiviti yang dapat memberikan pendedahan dan meningkatkan minat siswa kepada keusahawanan. Di antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah Simposium Keusahawanan, Bengkel Peluang-Peluang Perniagaan, Siri Ceramah Kerjaya, Minggu Keusahawanan dan Seminar Etika Perniagaan Islam. Penyertaan bagi program ini adalah terbuka kepada semua pelajar dari tahun pertama sehingga tahun akhir.
ii. Kursus Asas Keusahawanan Siswa (KAKS)
KAKS telah mula dilaksanakan pada tahun 2003 dimana melibatkan 19 IPTA dan 1 IPTS. Kini KAKS telah mula diperluaskan pelaksanaannya ke 27 buah Politeknik bagi memanfaatkan kemahiran teknikal dalam bidang keusahawanan. Kursus ini disasarkan kepada pelajar-pelajar tahun akhir yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan yang bertujuan untuk memberi motivasi, simulasi keusahawanan, ciri-ciri usahawan yang berjaya dan pendedahan mengenai peluang perniagaan. Peserta kursus akan diberikan sijil untuk melayakkan memohon pinjaman Tabung Usahawan Siswazah (TUS).
iii. Student Mall
Program Student Mall merupakan projek fizikal iaitu pembinaan kedai (mall), untuk ruang niaga bagi memberi peluang kepada siswa yang telah mengikuti program-program pembudayaan keusahawanan di universiti untuk menjalankan perniagaan sendiri di dalam kampus. Pembinaan Student Mall ini dilaksanakan di tempat yang strategik dan menjadi tumpuan pelajar. Di setiap Student Mall terdapat beberapa lot kedai dan ruang pejabat untuk pentadbiran. Projek ini bertujuan untuk memberi pengalaman dan pendedahan awal kepada siswa bagi memula dan menguruskan perniagaan.
iv. Konvensyen & Karnival Keusahawanan Siswa (KARNIAWAN)
Program KARNIAWAN telah diperkenalkan pada tahun 2004 dan dianjurkan pada setiap tahun bertujuan untuk menghargai dan memberi pengiktirafan kepada siswa yang terlibat dalam bidang keusahawanan. Menerusi program ini juga para peserta dapat membina motivasi untuk melibatkan diri secara lebih aktif dalam aktiviti perniagaan dan keusahawanan. Selain itu, para peserta dan pegawai penyelaras dapat berkumpul untuk berkongsi idea, pendapat, pengetahuan dan pengalaman mengenai pelaksanaan PKS di universiti masing-masing.
v. Student in Free Enterprise (SIFE)
Students In Free Enterprise (SIFE) merupakan sebuah organisasi global yang aktif di lebih 1,500 universiti di 45 buah negara di seluruh dunia. Di Malaysia ianya dilancarkan pada tahun 2000. SIFE kini telah bergiat di 19 buah universiti awam dan swasta. SIFE bertujuan untuk memberi pendedahan dan penekanan terhadap pentingnya pemahaman asas ekonomi, pengurusan kewangan dan pelaburan, keusahawanan serta etika perniagaan di dalam usaha menjana usahawan cemerlang di kalangan masyarakat luar bandar dan siswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT).