Mimpi Kita

Mimpi Kita, asing bagi anda?

Dimiliki oleh 3 orang adik beradik, perniagaannya ini bermula pada 10 tahun yang lalu. Namun, tiada seorang pun antara mereka yang mempunyai latar belakang dalam bidang fesyen. Malahan, ada antara mereka adalah pemegang ijazah jurusan ekonomi dan kejuruteraan.

Modal permulaan sebanyak RM 3000 yang diperoleh daripada ibu bapanya membolehkan mereka mula berniaga secara atas talian (online) pada tahun 2008. 3 tahun selepas itu, butik pertama berjaya dibuka di Jalan Telawi (Bangsar), hasil kolaborasi dengan Fashion Vallet.

Mejadikan butik Zara sebagai sumber aspirasi untuk memgembangkan perniagaannya, Mimpi Kita telah mendapat pelbagai bantuan dari beberapa agensi kerajaan. Antaranya adalah pembiayaan sebanyak RM 500,000 dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Mereka juga mempunyai 2 stokis di London melalui hasil bantuan dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)  dan juga SME Corp.

Kesemua produk pakaian yang dijual adalah menggunakan bahan serta buatan tempatan. Bermula dengan harga dari RM 119 sehingga RM 660, Mimpi Kita mensasarkan pelanggan dari kategori wanita bekerjaya yang berusia 20 sehingga 45 tahun.

Bagi mereka, strategi penjenamaan adalah yang paling utama dalam memajukan perniagaan. Selain itu, kejayaan mereka juga adalah melalui kesetiaan dan kepercayaan pelanggan terhadap Mimpi Kita. Oleh itu, 3 beradik ini menggunakan konsep “Customers becomes Friends” agar hubungan antara mereka dan pelanggan terus terjalin selamanya.

Peningkatan demi peningkatan berjaya diraih oleh Mimpi Kita. Hari ini, produknya juga boleh didapati di Isetan dan mencapai jumlah jualan sehingga RM 5,000 sehari. Namun usaha mereka tidak akan terhenti sampai di sini sahaja. Jika diberi peluang, pemilik Mimpi Kita ini ingin membuka butiknya sendiri di Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Namun buat masa ini, mereka mensasarkan Bangsar Village sebagai lokasi seterusnya walaupun terpaksa berada di dalam senarai menunggu.

Jualan tahunan yang mencecah sehingga RM 2.5 juta membuatkan usahawan muda ini terus bersemangat untuk mencipta lebih banyak punca pendapatan. Mereka meletakkan sasaran sebanyak 50% pendapatan adalah dari sumber atas talian dan lagi 50% melalui butik.

3 usahawan muda ini akan terus mengorak langkah dengan memegang prinsip fokus kepada penjenamaan, sentiasa jujur serta rendah diri dan juga tidak mudah putus asa untuk tingkatkan bisnes.

Facebook
Twitter