Mengecilkan Yang Besar

Dalam kursus keusahawanan, ramai suruh kita nampak besar. Kata mereka, pelanggan suka berurusan dengan syarikat besar.

Kata mereka lagi, syarikat besar diuruskan secara professional dan mempunyai perkhidmatan selepas jualan yang baik. Maka, semua orang nak jadikan bisnes mereka “korporat.”

Betul, cuma separuh betul.

Apa yang mereka tak beritahu ialah syarikat besar juga tidak mampu berikan layanan peribadi (personalised treatment) dan seringkali “sejuk” melayani pelanggan.

Mereka berselindung di sebalik nama yang gah, bukan layanan peribadi. Syarikat besar “ingat” nama pelanggan kerana nama itu ada dalam database mereka, bukan kerana nama itu sentiasa di hati.

Secara peribadi, saya suka orang panggil saya “nobisha” – walaupun dalam majlis rasmi. Apa disebut begitu, saya rasa orang itu “kenal” saya. Apabila dipanggil Tuan Norizan, apatah lagi Dato Norizan, saya rasa agak jauh dengan mereka.

Orang politik sedar hal ini. Mereka tidak boleh bergayut kepada lambang parti atau jawatan semata-mata. Maka sebab itulah sekarang ramai yang mendokong bayi, memeluk orang tua, menyapu jalan dan bergambar selepas solat Subuh. Mereka ingin dilihat mempunyai hubungan peribadi dengan pengundi.

cat-564202

photo taken: https://pixabay.com/en/cat-lion-shadow-carnivore-big-leo-564202/

Dalam bisnes juga begitu. Usah ingat apabila orang lihat bisnes kita kecil, ia adalah sesuatu yang merugikan.

Apa yang perlu bisnes kecil lakukan ialah memanfaatkan “kekecilan” itu untuk mempamerkan ia mampu memberikan layanan peribadi – sesuatu yang tak mampu dilakukan oleh syarikat besar!

Norizan Sharif
Pengarah Eksekutif
Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)

Facebook
Twitter