Jana Pendapatan Melalui Jahitan

Usahawan yang mempunyai sesuatu kemahiran perlu menggunakannya untuk menjana pendapatan. Sebagai contoh kemahiran menjahit. Memang bisnes jahitan ini boleh dijalankan dari rumah sahaja. Namun begitu, tukang jahit perlu ada strategi untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan serta kelangsungan bisnes.

Jangan mementingkan keuntungan sehingga sanggup mengambil terlampau banyak tempahan. Ini bermaksud usahawan perlu utamakan kualiti dari kuantiti. Pastikan pakaian siap dijahit pada masa yang telah dijanjikan. Elakkan berlakunya pakaian tidak siap kerana terlalu banyak tempahan. Namun, jika pakaian tidak siap kerana mementingkan kualiti, tidak mengapa. Pelanggan lebih suka pakaian yang selesa dipakai berbanding pakaian yang cepat siap tetapi tidak berkualiti.

Lebih elok jika setiap tempahan diberi jangka masa untuk siap. Ini bermaksud, setiap pakaian ada anggaran waktu untuk usahawan menyiapkan dan boleh menjahit mengikut masa yang ditetapkan. Oleh itu, usahawan perlu tetapkan terma dan syarat dalam bisnes. Sebagai contoh, tempahan ditutup sebulan sebelum hari raya atau menetapkan minima deposit setiap tempahan. Usahawan perlu mengambil tempahan mengikut kemampuan. Biasakan memohon maaf kepada pelanggan jika tidak dapat mengambil tempahan lagi.

Jika tempahan semakin meningkat, usahawan boleh mengambil pekerja untuk membantu. Tidak semestinya pekerja itu perlu pandai menjahit. Mungkin usahawan boleh mengambil pekerja yang mahir membuat jahitan asas seperti jahit jelujur atau menjahit manik. Sedikit sebanyak pekerja seperti ini dapat mengurangkan beban usahawan. Dan dalam masa yang sama, usahawan boleh mula melatih pekerja untuk menjahit. Bila pekerja sudah mahir menjahit, jumlah tempahan juga boleh dipertingkatkan serta menjana lebih banyak pendapatan.

Anda sebagai bisnes owner juga perlu tahu fesyen terkini. Sekurang-kurangnya boleh memberi idea kepada pelanggan ketika ingin membuat tempahan. Seiring dengan itu, usahawan perlu mahir dengan pelbagai jenis jahitan dan tidak tertumpu kepada satu fesyen sahaja. Sebagai contoh usahawan perlu mahir menjahit baju kurung, baju melayu atau kebaya. Tingkatkan kemahiran menjahit dengan menambah pelbagai jenis fesyen pakaian yang anda boleh tawarkan kepada pelanggan.

Facebook
Twitter