DNA Superstar Jualan

Ramai yang ingin menjadi superstar tetapi tidak ramai yang ingin belajar menjadi superstar.

Salah satu tugas yang perlu dilakukan oleh usahawan adalah menjual. Ini satu tugas yang penting dan kritikal dan sekiranya tidak dilakukan dengan betul, sudah pasti akan memberi kesan kepada perniagaan.

Begitu penting tugas menjual, namun sering dipandang mudah kerana usahawan sering beranggapan jualan itu sama sahaja dengan pemasaran – sekiranya sudah membuat pemasaran, maka tak perlulah membuat jualan kerana apabila pemasaran sudah dibuat, jualan akan datang dengan sendirinya.

Ini pandangan yang salah kerana jualan dan pemasaran adalah dua perkara berbeza namun sangat berkaitan dan melengkapi antara satu dengan yang lain. Jadi, bagaimana usahawan ingin membentuk diri menjadi seorang superstar jualan agar dapat menghasilkan jualan yang memberangsangkan?

Jawapannya adalah dengan pembentukan sikap yang betul. Ini bertepatan dengan dapatan daripada kebanyakan pakar motivasi jualan yang mengatakan:

90% kejayaan menjual adalah kerana sikap jurujual dan hanya 10% bergantung kepada sistem.

Apakah yang diperlukan untuk membentuk sikap seorang superstar jualan? Di bawah ini saya berikan penjelasan ringkas akan pembentukan sikap seorang superstar jualan:

Membina Imej Anda

O6XJQW0

Jualan sering dikaitkan dengan perhubungan peribadi di antara pembeli dan jurujual. Oleh yang demikian, sangat penting bagi usahawan membina imej diri yang baik dan betul untuk menjadi seorang jurujual yang disukai dan dipercayai oleh pelanggan.

Binalah imej anda dengan cara anda sendiri. Jangan meniru cara orang lain kerana akhirnya anda tidak akan merasa selesa dengannya. Imej boleh dibentuk secara semulajadi dan ia boleh jadi melalui penampilan diri anda, cara anda menghormati pelanggan anda atau cara anda memberi idea anda kepada pelanggan.

Membina imej diri juga membawa makna membina jenama anda sendiri. Namun perlu diingatkan, jangan sampai jenama diri anda melebihi jenama produk anda kerana ini akan memberi kesan negatif terhadap produk anda.

Berilmu
Usahawan mesti mempunyai ilmu. Dalam menjual, ada dua kategori ilmu yang perlu ada – ilmu berkaitan produk (product knowledge) dan ilmu berkaitan jualan (selling skills). Usahawan mungkin tidak mempunyai masalah mengenai pengetahuan produk kerana mereka yang menghasilkan produk yang dijual tetapi kekurangan di dalam kemahiran jualan. Kemahiran jualan sangat penting kerana kemahiran inilah yang menentukan kejayaan menjual. Cara bertanya soalan, menangani alasan dan bangkangan pelanggan, rundingan jualan dan mendapatkan jualan adalah antara kemahiran asas yang perlu ada untuk menjadi seorang superstar jualan. Kedua-dua ilmu ini saling diperlukan dan  melengkapi antara satu sama lain.

Berkeyakinan
Anda harus yakin kepada kebolehan diri sendiri semasa membuat jualan. Sifat yakin atau kelihatan yakin dapat menarik pelanggan untuk mendengar persembahan anda dan juga dapat mengurangkan kesilapan semasa membuat persembahan.

Keyakinan diri tidak menjadi masalah kepada usahawan kerana mereka yang menghasilkan produk yang dijual. Namun begitu, tidak semua usahawan mempunyai keyakinan diri menjual produk mereka sendiri. Tanganilah masalah ini sekiranya anda termasuk di dalam golongan ini. Apakah yang perlu dilakukan untuk mengatasinya? – berlatih, berlatih dan berlatih sehinggal lahir keyakinan diri untuk menjual.

Tepati janji
Sekiranya anda berjanji sesuatu kepada pelanggan anda, tepatilah janji anda. Berjanji merupakan salah satu cara yang sering digunakan oleh jurujual untuk mendapatkan jualan.

Kepada usahawan yang sering memberikan janji kepada pelanggan, janganlah menggunakan taktik ini. Tidak salah berjanji kalau anda menepatinya tetapi yang menjadi kesalahan ialah apabila janji tidak ditepati – atau lain yang dijanji lain pula yang dapat.

Jangan berjanji kalau anda tidak mampu menunaikannya dan jangan berjanji kalau anda bertujuan untuk memancing pelanggan.

Jujur
Jujur adalah salah satu sifat yang mulia. Sifat ini juga terpakai apabila  menjual. Pastikan anda jujur kepada pelanggan, perniagaan anda, pesaing anda dan juga kepada diri anda sendiri semasa menjual.

Jangan ada niat lain apabila anda menjual. Tumpukan usaha menjual anda dengan harapan untuk membantu dan memenuhi keperluan pelanggan dan pada masa yang sama mendapat pulangan daripada jualan anda. Tidak rugi untuk berkata benar – anda akan dihormati oleh pelanggan anda.

Jujur juga membawa maksud menceritakan hal sebenar mengenai produk atau perkhidmatan anda walaupun ia mengundang rasa kurang senang anda. Jangan malu atau cuba menyembunyikan kekurangan produk anda sekiranya anda perlu melakukannya. Pelanggan  pasti  akan lebih mempercayai anda sekiranya anda bersikap terbuka dan jujur.

Pengurusan Masa
Urus masa anda apabila menjalankan lain-lain tugas. Sebagai usahawan, kita terpaksa menjalankan banyak tugas dan pastikan tugas menjual jangan ditinggalkan.Belajar mengurus masa anda dengan baik kerana kejayaan perniagaan bergantung kepada bagaimana anda mengurus masa anda.

Kesimpulannya, kejayaan menjual banyak bergantung kepada diri anda dan mungkin kata-kata berikut yang saya tulis di dalam buku saya Take 5! (Ingatan Untuk Jurujual) boleh dijadikan pedoman:

Berubahlah, jika tidak pelanggan akan merubah anda.

Facebook
Twitter