USAHAWAN TEMPATAN DIGESA HASILKAN PRODUK BERKUALITI
Sabtu, 12/12/2009
Sumber : Utusan Malaysia
MELAKA 11 Dis. - Usahawan tempatan perlu menghasilkan produk atau perkhidmatan berkualiti bagi memastikan barangan yang dikeluarkan mampu menembusi pasaran dunia sekali gus memberi saingan kepada produk luar negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka juga perlu memastikan setiap produk memenuhi keperluan jangka panjang pengguna.
''Jangan hanya keluarkan produk atau perkhidmatan tetapi pastikan juga barangan yang dihasilkan itu berkualiti dan memenuhi keperluan serta cita rasa pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir.
Pameran tiga hari yang bermula hari ini disertai sebanyak 537 usahawan, jabatan kerajaan dan swasta dari seluruh negeri yang terlibat mempamer dan menjual pelbagai jenis produk makanan, kraftangan dan perkhidmatan.
Selain itu menurut Timbalan Perdana Menteri, para usahawan juga perlu menguasai teknik menghasilkan produk atau barangan moden bagi menampung permintaan pasaran dunia yang sentiasa berubah mengikut trend semasa.
Antara teknik tersebut, ujar beliau, ialah menghasilkan pembungkusan berkualiti dan pada masa sama melakukan penjenamaan sesuai bagi produk masing-masing.
''Dalam lawatan ke Jepun baru-baru ini, saya melihat bagaimana produk dihasilkan melalui usaha pembungkusan yang amat menarik. Produk mereka juga sentiasa segar, disusun rapi dan menarik,'' katanya.
Muhyiddin juga mahu kaedah pemasaran agresif yang diamalkan oleh pengusaha dan peniaga di Jepun dicontohi usahawan tempatan bagi mempertingkatkan kualiti produk mereka pada masa depan.
Pada masa sama, katanya, usaha penjenamaan produk atau perkhidmatan mesti dilihat sebagai elemen penting, bukan sahaja membolehkan ia dikenali tetapi terus mendapat permintaan pasaran.
''Namun ia hendaklah dikaitkan dengan kualiti kerana jika ada jenama tetapi tidak berkualiti, pengguna tidak akan minta produk itu lagi," katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa komited membantu pengusaha tempatan khususnya yang terlibat dengan program SDSI termasuk membantu memasarkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran tempatan dan luar negara.