Berapa Modal Untuk Mulakan Bisnes

Idea untuk mulakan bisnes sudah ada. Peluang pun sudah terbuka, tetapi bagaimana pula dengan modal yang diperlukan? Ada usahawan yang terlampau bersemangat untuk memulakan bisnes sehingga sanggup bergadai dan juga berhutang. Ada juga yang tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan modal dan persoalan ini kadang kala boleh mematahkan niat usahawan untuk memulakan bisnes. Adakah anda berada dalam kategori tersebut?

Soal modal bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Persediaan rapi dari segi kewangan perlu dilakukan oleh bakal usahawan. Beberapa faktor perlu diambil kira untuk menentukan jumlah yang diperlukan bagi memulakan bisnes. Modal bisnes sebenarnya bergantung kepada jenis perniagaan yang ingin dijalankan. Lain bisnes, lain jumlah modal diperlukan. Usahawan perlu menyediakan senarai perbelanjaan serta menganggar kos yang perlu dikeluarkan. Seterusnya, buat pengiraan hasil jualan bulanan untuk jangka masa setahun atau enam bulan paling minimum.

Faktor yang perlu diambil kira untuk mengenal pasti jumlah modal adalah:

  • Kos jualan
    Ambil kira penggunaan bahan mentah, mesin atau peralatan untuk menghasilkan produk, kos pembungkusan dan juga penghantaran.
  • Yuran
    Termasuk yuran profesional dan konsultansi seperti pendaftaran perniagaan dan jenama, upah peguam atau yuran dokumen perjanjian rakan kongsi jika ada.
  • Teknologi
    Kalau menjalankan bisnes, sudah pasti usahawan akan menggunakan pelbagai peralatan teknologi seperti telefon, komputer, mesin cetak dan faks, internet dan juga kos penyelenggaraan. Ambil kira kesemua teknologi yang akan digunakan ketika operasi bisnes berjalan.
  • Pengurusan dan pentadbiran
    Kos sewa tapak atau premis perniagaan, kesemua jenis bil bulanan seperti bil telefon, air dan elektrik.
  • Jualan dan pemasaran
    Kenal pasti apa teknik pemasaran yang ingin digunakan. Sebagai contoh kos mencetak banner, atau pengiklanan di surat khabar atau majalah untuk tujuan promosi. Jika ingin gunakan medium elektronik sebagai promosi, ambil kira kos pengiklanan melalui televisyen mahu pun radio. Selain itu, kira juga kos seperti penyewaan tapak dan yuran untuk menyertai mana-mana ekspo.
  • Upah dan gaji
    Gaji usahawan dan pekerja, seterusnya jangan abaikan kebajikan pekerja seperti kos perubatan, caruman EPF dan SOCSO.

Untuk mengetahui berapa modal yang diperlukan, usahawan perlu senaraikan kesemua faktor di atas secara terperinci. Tapi perlu diingat,utamakan yang mana lebih penting dahulu jika ingin meminimumkan modal. Namun begitu, dalam membeli peralatan untuk menjalankan bisnes, seeloknya belilah yang berkualiti untuk kegunaan jangka masa panjang. Paling penting, jangan mengharapkan keuntungan pada bulan pertama bisnes dijalankan.

Mula senaraikan semua faktor di atas secara realistik dan munasabah!

Facebook
Twitter