3 Tips Untuk Berjaya Dalam Kerjaya

Seorang anak muda bertanya bagaimanakah ingin berjaya dalam kerjaya. Soalan itu mudah, tetapi memerlukan masa yang lama untuk jawab.

Sampai sekarang saya tak fikir saya berjaya dalam kerjaya. Kalau pun ada kejayaan, ia merupakan kejayaan untuk keluar dari kemiskinan tegar. Itu pun, saya berikan kredit kepada dasar-dasar kerajaan khususnya pendidikan, dan mak ayah serta guru-guru yang mendidik saya.

Untuk berjaya dalam kerjaya, ada tiga perkara yang kita boleh lakukan:

1. Bekerja Sepenuh Hati

Sepanjang saya bekerja dari muda sampailah sekarang, saya tak pernah berhenti kerja dengan berikan notis berhenti secukupnya.

Dalam pekerjaan pertama, saya berhenti dengan beri notis 24 jam. Itu tindakbalas saya apabila pengurusan kata, “Kalau tak suka, boleh berhenti.”

Sebelum menyertai tempat sekarang, saya ditawarkan kerja dan hasil perundingan dua majikan, saya berhenti dalam tempoh lima hari. Beberapa tahun lepas, saya diberhentikan kerja tanpa notis dan “menganggur” enam bulan.

Prinsip saya mudah, apabila saya cemuih, saya berhenti. Apabila saya suka, saya kerja bersungguh-sungguh. Walaupun orang bercuti, saya bekerja. Itulah yang berlaku apabila saya suka dengan kerja itu.

2. Belajar Pemasaran

Produk paling hebat yang boleh kita pasarkan ialah diri sendiri. Tentukan bagaimanakah kita mahu dilihat oleh khalayak sasaran, dan pasarkan diri kita sedemikian.

Media sosial ialah wadah yang terbaik untuk memasarkan diri sendiri. Ramai orang perhatikan apa yang kita tulis di Facebook atau Twitter. Tulisan saya di Facebook pernah jadi viral di The Malay Mail, The Star, The New Straits Times, Sinar Harian dan beberapa media lagi.

Belajar menulis dengan baik dan tulis yang baik-baik di media sosial. Belajar bercakap dengan elok dan bercakaplah yang elok-elok dengan orang di sekeliling kita. Belajar bercakap bahasa istana rakyat.

Dalam pemasaran peribadi, berhati-hati usah sampai masuk bakul angkat sendiri. Kalau nak berlagak pun, biar ada gaya.

3. Berikan Idea

Orang suka dengan orang yang banyak idea. Berikan idea. Bagaimana nak dapat idea? Banyakkan membaca. Baca buku. Baca akhbar. Baca laman web berkualiti.

Usah tunggu. Apabila ada idea, terus jumpa bos untuk berkongsi idea. Bukan semua idea kita disambut secara positif. Itu biasa. Namun, usah berhenti berikan idea.

Orang tak suka dengar orang merungut dan membebel. Usah merungut dan membebel. Orang yang merungut dan membebel terutama di tempat kerja tak akan pergi jauh dalam kerjaya!

Facebook
Twitter